India oh india,Budak perempuan dirogol, dirodok objek tumpul sebelum dibunuh kejam
SURAT, India: Belum pun reda dengan kes rogol berkumpulan dan bunuh seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Kathua, India sekali lagi digemparkan dengan kes hampir sama, namun kali ini mangsa bukan sahaja dirogol malah turut diseksa oleh penculiknya sebelum dibunuh.
Polis berkata, mayat budak perempuan berusia 11 tahun itu ditemui di sebuah kawasan sunyi berhampiran stadium kriket di pinggir Pandesara berhampiran Surat.
Mangsa dipercayai dirogol sebelum dijerut sehingga mati.
Tubuh mangsa juga dipenuhi 86 kesan kecederaan.
Laporan bedah siasat pula mendapati kemaluan mangsa turut dirodok menggunakan objek tumpul.
Tambah polis, pihaknya masih menyiasat identiti mangsa dan pelaku jenayah sadis terbabit.
"Mangsa mungkin dibunuh ditempat lain dan mayatnya dibuang di Surat.
"Apa pun, kami akan meneliti semua aspek termasuk CCTV dalam usaha memburu suspek," kata Komisioner Polis Surat, Satish Sharma semalam.
Aktivis dan orang ramai bagaimanapun menuduh polis tidak cekap dan lambat bertindak memandangkan mayat mangsa ditemui pada 6 April lalu.
"Sudah 10 hari berlalu, namun polis masih buntu. Mereka juga masih gagal mengenalpasti identiti mangsa.
"Suspek masih bebas dan mempunyai banyak masa untuk melarikan diri dan bersembunyi," kata seorang aktivis.
Sepanjang minggu lalu, India dikejutkan dengan beberapa kes rogol di seluruh negara.
Di Yamuna, seorang wanita dirogol bergilir-gilir oleh dua remaja ketika sedang menunggu bas ke tempat kerja.
Sabtu lalu, polis menahan dua suspek yang terlibat dengan kes rogol gadis berusia 17 tahun di Patna.
Sementara itu, satu kes rogol mencetuskan kemarahan orang ramai di Odisha selepas seorang kanak-kanak empat tahun dirogol jirannya.
Kes rogol di Kathua pula lebih kejam, apabila mangsa diberikan ubat pelali dan dirogol berulang kali oleh enam lelaki termasuk dua anggota polis khas sebelum kepala anak kecil itu dihentak dengan batu.
Mayat Asifa Bano hanya ditemui lima hari selepas kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis.
Dan kes terbaru pula membabitkan ahli politik parti pemerintah hingga mencetuskan bantahan seluruh negara.
Difahamkan, keluarga mangsa yang berjuang hampir setahun untuk meminta polis agar mendaftarkan kes mereka.
Ahli parlimen terbabit turut dikaitkan dengan kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, hingga mencetuskan bantahan besar-besaran yang tidak pernah dilihat sejak kejadian rogol dan bunuh seorang pelajar di Delhi pada 2012. - Times of India