Ketua geng yang ramai-ramai merogol dan membunuh seorang pelajar dihukum mati pada Khamis (29 Sep), dalam kes berprofil tinggi yang membawa kepada pengenalan hukuman lebih tegas terhadap pesalah seks kanak-kanak di Indonesia.
Zainal dikenakan hukuman itu di sebuah mahkamah di Sumatera barat, manakala empat lelaki lain dijatuhi hukuman penjara 20 tahun setiap seorang.
Perkosaan dan pembunuhan pelajar berusia 14 tahun itu, yang diserang sekumpulan lelaki dan budak lelaki pada April dalam perjalanan pulang ke rumah selepas sekolah, mengejutkan Indonesia dan mencetuskan perdebatan seluruh negara mengenai kegagalan menangani keganasan seks yang meluas.
Presiden Joko Widodo respon kepada kemarahan yang semakin meningkat terhadap kes itu dengan memperkenal hukuman lebih keras bagi pesalah seks kanak-kanak pada Mei. Ini termasuk hukuman maksimum mati, pengembirian kimia dan memaksa pedofil memakai alat pengawasan elektronik.
Berikutan penemuan mayat telanjang remaja itu di dalam hutan, polis menangkap 13 orang, manakala seorang suspek masih bebas.
Zainal, 23 tahun, dihukum mati bagi pembunuhan yang dirancang, kesalahan yang memang mengundang hukuman mati sebelum undang-undang baru itu diperkenal.
"Hukuman ini dijatuhkan kerana defendan yang memujuk defendan lain (supaya melakukan jenayah itu)," Hakim Heny Farida memberitahu mahkamah di bandar Curup, dekat Bengkulu.
Selepas hukuman disampaikan, ibu mangsa menjerit membantah dan menuntut kesemua defendan dihukum mati.
Tertuduh lain, semuanya di bawah umur, telah dihukum penjara, kebanyakannya selama 10 tahun. - AFP