Rogol berkumpulan: Dua beradik dihadapkan ke mahkamah
























A. Gunasekaran, A. Sarawanankumar dan K. Dinesh didakwa merogol seorang remaja perempuan secara berkumpulan pada 28 Feb lalu. - Gambar hiasan
AYER KEROH: 'Nafsu binatang' tiga sekawan termasuk dua beradik, yang didakwa merogol seorang remaja perempuan secara berkumpulan, membawa padah apabila mereka bakal berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Dua beradik itu � A. Gunasekaran, 23 tahun dan A. Sarawanankumar, 24, serta rakan mereka K. Dinesh 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan bersama, ketiga-tiga tertuduh didakwa telah melakukan rogol secara berkumpulan ke atas seorang remaja perempuan Melayu berusia 17 tahun mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima 10 tahun dan maksima 30 tahun, jika sabit kesalahan.


Gunasekaran yang bekerja sebagai juruteknik turut berdepan pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-kanak 2017 yang membolehkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, kerana melakukan amang seksual fizikal (gangguan fizikal) terhadap mangsa.


Sementara itu, bagi dua pertuduhan lain terhadap Sarawanankumar, dia didakwa dengan sengaja melakukan liwat terhadap mangsa.

Justeru, dia didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.


Dalam pada itu, Dinesh yang bekerja sebagai kelindan lori turut didakwa dibawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah rumah di Taman Sebang Mutiara, Alor Gajah, Melaka sekitar 8.40 hingga 10.10 malam, 28 Mar lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, membantah sebarang jaminan dengan mengambil kira trauma yang dialami mangsa selain pembebasan tertuduh dikhuatiri boleh mengganggu mangsa yang juga saksi utama pendakwaan.

Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah, yang mewakili kesemua tertuduh, bagaimanapun memohon mahkamah untuk membebaskan mereka dengan ikat jamin. Nahdan memberi jaminan anak guamnya tidak akan mengganggu mangsa ataupun melarikan diri berikutan mereka bekerjasama dengan pihak polis sepanjang dua minggu direman.

Norma pada penghakimannya memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes.
Artikel Selanjutnya Artikel Sebelumnya
Belum Ada Komentar :
Tambahkan Komentar
Comment url
Post Terkait :
Viral Trending Malaysia