KUALA LUMPUR: Selepas hampir 24 jam menggeledah di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak, pasukan polis menyambung operasi pencarian di sebuah kondominium mewah milik bekas Perdana Menteri itu di ibu negara malam tadi.
Pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dilihat memasuki kondominium itu termasuk membawa mesin pengira wang.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang mengesahkan serbuan itu, turut dilihat bersama pegawai dan anggotanya memunggah sejumlah bagasi dan kotak keluar dari kondominium ke dalam tiga trak polis bermula jam 12.13 tengah malam ini.
Dalam serbuan malam kelmarin, polis membawa keluar beberapa barangan serta dokumen dari kondominium berkenaan.
Malam kelmarin, polis menyerbu kediaman milik Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini serta tiga unit pangsapuri mewah di Pavilion Residences, Bukit Bintang.
Serbuan secara serentak mulai jam 10 malam itu dibuat bagi mencari bahan bukti berhubung siasatan polis mengikut Akta Pengubahan Wang Haram terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.