PENYAMPAI radio Kool FM, Haiza Hanafi, 38, mendedahkan suaminya pernah menjadi mangsa seorang wanita yang menggunakan simpati untuk mendapatkan wang mudah.
Situasi itu didedahkan Haiza melalui perkongsian di laman sosial Facebook miliknya, petang tadi.
"Wanita itu berpura-pura menangis dan meminta simpati supaya mangsanya memberikan wang sekurang-kurangnya RM50.
"Alasan digunakan adalah sama, mendakwa dompet mengandungi wang tunai RM900 hilang, tak makan lagi, nak balik kampung tiada duit, tiada duit bayar tol dan petrol," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug turut mendakwa, wanita itu mempunyai seorang rakan dipercayai bersubahat yang akan menunggu di dalam kereta.
Katanya, suami, Norhanapfe Omar, dipercayai bertembung semula dengan wanita itu yang cuba memperdaya mangsa lain di sebuah stesen minyak di sini.
Susulan itu, Norhanapfe bertemu dan memberi peringatan kepada wanita itu agar tidak mengulangi hal sama kepada orang lain.
"Pun begitu, dia menafikan perbuatannya tetapi selepas diberi amaran untuk memanggil semula lelaki yang ditemui wanita itu beserta rakan subahatnya yang berada di dalam kereta, wanita itu terus melarikan diri.
"Ada banyak cara untuk mendapatkan duit halal, bukan ini caranya," katanya tegas.