Semalam, seorang lelaki ditemui maut di dalam kereta oleh orang awam di Taman Mega Jaya, Ampang, disyaki akibat terhidu gas karbon monoksida.
Sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi, pihak bomba telah menerima panggilan pada 1.18 tengah hari pada hari kejadian.
Hos yang bersambung dari ekzos
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Mohd Nurizawan Basri berkata, setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati terdapat hos yang bersambung dari ekzos dan masuk ke kereta jenis Audi itu.
Setibanya di lokasi dan membuat pemantauan menyeluruh mendapati, seorang lelaki berusia 44 tahun tidak sedarkan diri dalam kereta. Pihak kami kemudiannya berjaya membuka pintu kenderaan lelaki itu.
Sebaik berjaya membuka pintu kereta, kami mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia.
Buat ujian nadi dan bantuan pernafasan
Beliau berkata, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan dari Hospital Ampang, anggota ERMS membuat ujian nadi dan bantuan pernafasan (CPR) ke atas mangsa. Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan keadaan di lokasi, lelaki itu dipercayai lemas atau keracunan gas karbon monoksida daripada asap kenderaan itu sendiri berdasarkan penemuan hos getah yang bersambung dari ekzos ke dalam kereta itu.Bagaimanapun, punca kematian akan disiasat polis berdasarkan hasil bedah siasat.